Apa yang Anda Perlu Tahu tentang Pediatrik? Siapakah Ahli Pediatrik?


0
SHARES

Apakah pediatrik? Bilakah anda perlu bertemu dengan Ahli Pediatrik?


Di dalam artikel ini, kami amat bertuah kerana diberi peluang untuk menemubual Dr. Melanie Majaham yang sangat berpengalaman malahan seorang yang sangat penyayang untuk mengetahui isu ini dengan lebih lanjut.

 

GetDoc: Hello Doctor, terima kasih kerana sudi untuk ditemubual. Bolehkah Dr. terangkan apakah kepakaran Dr. kepada kami?

Dr. Melanie: Saya merupakan Ahli Pediatrik Umum. Saya merawat pelbagai jenis penyakit kanak-kanak pada peringkat awal dan juga rawatan permulaan bagi pesakit dalam.

GetDoc: Bolehkah Dr. terangkan kepada pembaca kami apakah maksud pediatrik dalam satu ayat?

Dr. Melanie: Pediatrik ialah suatu cabang dalam bidang perubatan yang khusus untuk kumpulan pesakit dalam julat umur kanak-kanak bermula daripada bayi yang baru dilahirkan sehinggalah peringkat remaja, umumnya sehingga mereka berumur 18 tahun. Ianya melibatkan perawatan penyakit-penyakit yang biasa dan yang jarang berlaku kepada kanak-kanak pada peringkat umur mereka. Malahan, kami juga meneliti perkembangan dan tumbesaran mereka sepanjang tempoh tersebut.

health screening



Getdoc: sejak bilakah Dr. mula menceburkan diri dalam bidang pediatrik ini?

Dr. Melanie: Saya memulakan karier perubatan saya sebagai ‘house officer’ di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Seterusnya, saya menyambung latihan sebagai ‘medical officer’ di Hospital Kuala Lumpur. Pada mulanya saya diberi tugasan di jabatan perubatan rehabilitasi. Semasa tempoh tersebut, saya mula menguruskan segelintir pesakit perubatan kanak-kanak dan saya mula mengembangkan minat dalam bidang pediatrik. Seterusnya, saya membuat keputusan untuk menukar bidang dan bertugas ke jabatan pediatrik. Setakat ini saya sudah menghabiskan 8 tahun berada di dalam bidang pediatrik.
 

pediatrik

Dr. Melanie bincangkan isu-isu mengenai pediatrik dengan GetDoc



GetDoc: Di dalam bidang pediatrik, aspek apakah yang paling menarik minat Dr. sehinggakan Dr. bertukar jabatan dengan rela hati?

Dr. Melanie: Bagi saya, pediatrik bukan sahaja melibatkan sains tetapi ianya merupakan suatu bentuk seni. Saya bahagia apabila melihat kanak-kanak. Pediatrik merupakan cabang perubatan yang melibatkan penjagaan bayi baru lahir sehingga berumur 18 tahun malahan sehingga umur 21 tahun di Amerika Syarikat. Di dalam cabang perubatan ini, ahli pediatrik berhadapan dengan penyakit-penyakit biasa dan penyakit yang jarang berlaku dan dihidapi kanak-kanak malah ia juga melibatkan pemerhatian terhadap tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Sekiranya ibubapa prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka, contohnya seperti anak mereka hiperaktif atau mempunyai masalah pembelajaran, mereka perlu membawa anak mereka yang mempunyai masalah kesihatan kepada pihak terlibat untuk mengetahui sama ada anak mereka normal ataupun memerlukan pemerhatian. Jadi, ahli pediatrik juga perlu membina hubungan jangka masa panjang dengan ibubapa kanak-kanak tersebut.

 

GetDoc: Dr. ada memberitahu bahawa di Amerika, had umur pesakit pediatrik yang boleh mendapatkan rawatan daripada ahli pediatrik dan bukannya daripada seorang  ‘general practitioner’(GP) ataupun doktor biasa adalah sehingga 21 tahun. Bolehkan Dr. terangkan dengan lebih lanjut mengenai hal ini?

Dr. Melanie: Di Malaysia, had umur pesakit pediatrik adalah sehingga 18 tahun tetapi di klinik kerajaan, sesiapa yang berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai Kad Pengenalan akan dirawat di wad pesakit dewasa. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat kanak-kanak berumur 12 tahun dan tubuhnya bersaiz kecil, kanak-kanak tersebut akan dirawat di jabatan kami kerana para doktor mungkin berasa risau tentang pengiraan dos ubat-ubatan yang bersesuaian untuk kanak-kanak tersebut.

Sesetengah pesakit yang mungkin mempunyai masalah kesihatan semenjak kecil seperti asma, talassemia, atau masalah jantung akan meneruskan rawatan mereka dengan kami sehinggalah berumur 18 tahun. Kadangkala apabila kanak-kanak ini dihantar ke wad dewasa, mereka akan merasa kejutan budaya kerana mereka sekarang bertanggungjawab ke atas diri sendiri tanpa ada sesiapa yang ada untuk sentiasa mengingatkan mereka tentang pengambilan ubat.

 

pediatrik

Sejarah perubatan sangat penting dalam proses perawatan.



GetDoc: Jika dibandingkan dengan pakar-pakar dari bidang perubatan yang lain, Dr. harus memberikan penjagaan yang lebih rapi kepada pesakit Dr. dan adakah tugas itu mencabar dan memenatkan?

Dr. Melanie: Ya! Cabaran sebenar adalah untuk mendapatkan maklumat tentang kisah atau sejarah perubatan mereka kerana hal tersebut diceritakan daripada perspektif pihak ketiga seperti ibubapa ataupun penjaga. Walaupun kanak-kanak tersebut mampu bercakap atau berkata-kata, mereka masih tidak mampu untuk memberitahu simptom mereka secara tepat. Kadangkala mereka akan berkata “tidak tahu” atau hanya menjawab “ya” dan mengiyakan segalanya!

Jadi, di dalam cabang pediatrik, cabarannya ialah memilih informasi penting dan relevan untuk didiagnos sebelum memulakan rawatan. Ahli Pediatrik juga perlu menjadi lebih fleksibel kerana kanak-kanak tidak akan duduk diam semasa pemeriksaan rawatan dan anda perlulah menjadi lebih terbuka, banyak bersabar, dan belajar untuk mencuri perhatian dan bermain dengan kanak-kanak. Para ibubapa selalunya akan berasa risau jika anak mereka tidak sihat, jadi komunikasi adalah sangat penting dan anda juga perlu sentiasa meyakinkan mereka sepanjang rawatan dan melibatkan mereka untuk berbincang dalam setiap keputusan yang berkaitan rawatan anak mereka.


GetDoc: Apakah kes yang biasa/jarang dijumpai yang telah Dr. rawat di Malaysia?


Dr. Melanie: Kes yang biasa dihidapi oleh kanak-kanak adalah berkaitan dengan masalah pernafasan atas (upper respiratory problem) seperti sakit tekak, asma, pneumonia (jangkitan paru-paru), cirit birit, dan jangkitan virus seperti demam denggi yang semakin meningkat kebiasaannya.

Semasa latihan bersama kerajaan, saya merawat pelbagai penyakit yang serius seperti penyakit jantung, jangkitan paru-paru yang sangat teruk, talassemia, HIV dan masalah ginjal.


GetDoc: Jadi, lebih banyak kes yang jarang berlaku terdapat di hospital kerajaan?


Dr. Melanie: Bagi saya, hal ini bukan disebabkan oleh pusat perubatan swasta tidak mampu untuk menguruskan kes mencabar, tetapi ianya disebabkan kes-kes ini memerlukan penyiasatan lanjut dan pesakit perlu tinggal lebih lama di hospital. Pembiayaan untuk kes ini mungkin tidak dapat ditanggung sepenuhnya oleh penjaga pesakit jadi mereka lebih selesa memilih untuk pergi ke hospital kerajaan.

pediatrik

GetDoc: Dr. ada menyebut berkenaan kes HIV. Bolehkan Dr. terangkan dengan lebih mendalam mengenainya?

Dr. Melanie: HIV adalah satu subjek yang sangat ‘taboo’ ataupun mengerikan sesetengah pihak untuk bercakap mengenainya. Sebelum ini, saya telah merawat lebih kurang 20 kanak-kanak pesakit HIV dan dibantu oleh Unit Penyakit Berjangkit Pediatrik dari Hospital Kuala Lumpur. Rawatan bagi pesakit HIV adalah percuma bagi kanak-kanak HIV di hospital kerajaan Malaysia.

Ubat-ubatan sepanjang hayat dan perlu diambil pada masa yang ditetapkan (contohnya 8 pagi dan 8 malam) untuk menghalang rintangan virus. Kebiasaannya pesakit-pesakit saya datang daripada keluarga susah kerana saya mendapati keluarga berpendapatan tinggi lebih memilih untuk pergi ke hospital atau institusi swasta kerana lebih meyakini khidmat mereka. Kebiasaannya pesakit golongan ekonomi rendah ini datang daripada keluarga yang berpecah-belah ataupun anak yatim yang dijaga oleh ahli keluarga mereka yang lain dengan pemerhatian yang rendah. Apabila anda mengambil ubat dengan betul, anda akan dapat menghalang jangkitan dan dapat menjalani kehidupan hampir normal kepada kehidupan normal seperti pergi ke kolej dan berkahwin.

Namun begitu, kadangkala agak susah untuk memujuk kanak-kanak untuk mengambil ubat. Jadi, apa yang paling kami inginkan ialah menghalang kanak-kanak ini dijangkiti HIV. Lebih 90% kanak-kanak mendapat virus ini melalui ibu mereka iaitu semasa dalam kandungan dan penyusuan badan. Walaubagaimanapun, para doktor sentiasa ada penyelesaiannya untuk mengurangkan kadar transmisi sehingga 3%. Jika ibu mengandung tersebut didiagnos sebagai pesakit HIV dengan lebih awal, kami boleh memulakan rawatan untuk ibu tersebut dan melakukan langkah pencegahan seperti melahirkan dengan cara pembedahan (c-section) seterusnya melarang penyusuan badan sepenuhnya. Bayi tersebut juga akan dipantau dan dikawal dengan ubat-ubatan untuk 6 minggu pertama selepas kelahiran bagi menghalang transmisi. Sekiranya anda tidak berbuat apa-apa, terdapat lebih kurang 30-40% peluang untuk kanak-kanak tersebut dijangkiti virus ini. Masalahnya terdapat segelintir ibu mengandung yang mereka sendiri tidak mengetahui bahawa mereka menghidap HIV, maka mereka terlepas rawatan yang penting ini. Maka, amatlah penting untuk para ibu mendapatkan diagnosis awal bagi masalah ini.

 

GetDoc: Jadi apakah akibatnya?

Dr. Melanie: Sekiranya rawatan awal tidak diambil, virus tersebut akan terus berkembang dan bayi tersebut akan bertambah sukar untuk menghalang atau melawan virus tersebut. Kematian juga boleh terjadi. Paling menyedihkan apabila perkara tersebut dapat dielakkan kerana ianya boleh dikawal dengan regim rawatan yang sentiasa dikawal rapi.

health screening
GetDoc: Apakah nasihat Dr. kepada orang ramai berkaitan isu ini?


Dr. Melanie: Masa kini semua ibu mengandung yang menjalani rawatan susulan secara telus akan menjalani beberapa ujian jangkitan virus- antaranya ialah HIV. Pada peringkat tertentu, ujian pra-perkahwinan juga diterapkan. Bagi saya, apa yang paling utama ialah kesedaran diri sendiri mengenai faktor risiko yang bakal dihadapi dan anda perlulah bertanggungjawab untuk pergi membuat saringan kesihatan sekiranya perlu.


GetDoc: Dr. ada menyentuh berkenaan penyakit jangkitan pernafasan atas, adakah nasihat yang Dr. ingin berikan kepada para ibubapa bagi menghalang anak-anak mereka daripada mendapat jangkitan?


Dr. Melanie: Mengembangkan jangkitan ini adalah sebahagian daripada cara tubuh kita membina sistem imunisasi. Semasa peringkat awal perkembangan kanak-kanak, mereka cenderung untuk tinggal di rumah. Setelah mereka memasuki alam persekolahan dan terdedah dengan kanak-kanak lain, maka jangkitan pernafasan atas adalah dianggap normal kerana boleh berlaku sehingga sekali setiap sebulan sepanjang tahun pertama persekolahan. Pada pendapat saya, perkara utama untuk mencegah jangkitan ini ialah penjagaan kebersihan asas. Membasuh tangan adalah cara terbaik untuk mencegah jangkitan kerana penyakit ini berjangkit melalui titisan pernafasan dan boleh merebak melalui sentuhan dan udara. Sekiranya kanak-kanak tidak sihat, ianya adalah tanggungjawab sivik bagi penjaga untuk memberi mereka tinggal di rumah sehingga jangkitan berkurangan selagi boleh. Namun begitu, bukan semua jangkitan dapat dielakkan kerana ianya adalah sebahagian dari proses untuk membina sistem imunisasi kanak-kanak.

 

GetDoc: Kes apakah yang paling memberikan kepuasan kepada Dr. semasa perawatan sepanjang karier anda?

Dr. Melanie: Bagi saya setiap kes memberikan satu bentuk kepuasan. Kanak-kanak kebiasaannya tidak menipu. Sekiranya mereka tidak sihat, mereka akan menangis dan berasa tidak selesa seterusnya mereka akan kelihatan lesu.  Setelah mereka sihat kembali, mereka akan berlari, melompat, dan bersembang dengan ibubapa mereka. Perkara inilah yang memberikan kepuasan kepada saya apabila melihat mereka kembali normal seperti sediakala.

pediatrik

Damai Services Hospital




GetDoc: Penyakit Zika semakin merebak sejak kebelakangan ini; adakah ianya memberi kesan kepada pertumbuhan kanak-kanak?


Dr. Melanie: Buat masa ini tiada ujian komersial yang dapat dijalankan. Cuma makmal yang spesifik sahaja mampu untuk mengkaji virus tersebut. Jadi, anda mungkin dijangkiti virus Zika tanpa disedari. Sekiranya ibu mengandung dijangkiti virus Zika, bayinya mungkin dijangkiti dan ada kemungkinan bayi tersebut dilahirkan dengan kepala yang bersaiz kecil (microchepaly) disebabkan oleh perkembangan otak yang terbantut. Hal ini akan member impak yang besar kepada kanak-kanak yang menghidapinya- kesan buruk kepada perkembangan boleh terjadi pada mana-mana peringkat dan memerlukan pertolongan jangka masa panjang dan pendidikan istimewa.


GetDoc: Itu merupakan satu penerangan yang sangat bernas. Baiklah, soalan terakhir yang tidak berkaitan dengan kerja: bagaimanakah cara anda meringankan tekanan kerja?


Dr. Melanie: Kebiasaannya saya akan membaca bahan ringan seperti majalah untuk merehatkan minda saya. Saya juga banyak meluangkan masa bersama 2 orang anak lelaki saya yang berumur 8 dan 10 tahun dengan menemani mereka menjalankan akitiviti di luar seperti kelas bola sepak. Kesemuanya berkaitan keseimbangan, anda perlu bekerja dan juga menghabiskan masa bersama keluarga kerana mereka sangat penting kepada kita.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Dr Melanie Majaham, sila kunjungi sini

Kunjungi GetDoc website atau muat turun GetDoc app sekarang: Google Play Store atau Apple App Store.

Adakah anda mempunyai apa-apa soalan mengenai topik ini? Isi borang di bawah!











Your Name (required)


Your Email (required)


Your Phone (required)


Your Question about Breastfeeding and Paediatrics (required)








 


by Qian

Qian's interest in healthcare industry came about after her father was diagnosed with bladder cancer. This experience has led her to become a strong believer in empowering individuals to take charge of their own health. View all articles by Qian.




JOIN OUR COMMUNITY

Don't miss out on latest medical tips and information!

Join us for FREE now to enjoy special health screening offers!

**Offers are limited to 200 subscribers only**

100% Privacy. We don't spam.

Latest Articles

  • All You Need to Know About Menstrual Pain

    June 16, 2017 641

  • Reading On A Smartphone Before Bed Might Be Killing You

    June 15, 2017 362

  • Dry Eye – Is this a Millennial Syndrome?

    June 08, 2017 202

  • Did a Brain Tumour Cause Bruce Banner to turn into the Hulk?

    June 07, 2017 597

  • Kids Wearing Spectacles – Can It Be Avoided?

    June 06, 2017 957